krtsimpang3keladi


Selamat Datang Ke Laman Blog Kawasan Rukun Tetangga Simpang Tiga Keladi, Kulim, Kedah Darul Aman

http://krtsimpang3keladi.blogspot.com/

Friday, December 7, 2012

Gotong Royong Masak Bubur Asyura

KRT Simpang Tiga Keladi

Pada 07hb Disember 2012 KRT Simpang Tiga Keladi telah menganjurkan memasak Bubur Asyura di perkarangan tapak Pusat Kawalan SRS. Persiapan telah diadakan mulai jam 8.30pagi yang turut disertai oleh kaum ibu dan Ahli Jawatan Kuasa KRT Simpang Tiga Keladi.

Suasana agak meriah kerana kesefahaman antara kaum tanpa mengira fahaman agama sewaktu aktibiti memasak Bubur Asyura dijalankan, dengan berbagai gelagat sebahagian yang turut serta pada hari tersebut.
Hanya gambar-gambar yang dapat menceritakan akan kemeriahan aktibiti tersebut.




Persiapan bahan-bahan untuk bubur asyura antaranya ubi keledek dan jagung. Kaum ibu dan AJK KRT Simpang Tiga Keladi sedang mengupas keledek dan jagung.















Tepung beras dicampur air dan dikacau supaya tidak berketul semasa hendak dimasak.








Bancuhan tepung beras yang telah dicampur dengan air gula merah, ubi keledek serta ditambah gula pasir dan dikacau rata sebelum bahan-bahan lain saperti kacang kuda, kacang tanah, kacang hijau dan jagung dicampur adukkan semuanya.


 Pengerusi KRT Spg Tiga Keladi Tuan Hj Mehat bin Ishak dan AJK KRT Spg Tiga Keladi En Seathuraman tidak ketinggalan mengacau bubur asyura yang sedang dimasak.


Setiausaha juga tidak mahu ketinggalan turut sama mengacau bubur asyura.

Lagi AJK lain yang turut sama menjayakan program pada hari tersebut.


Santan pula dimasukkan bagi menambah keenakkannya.

  Tambah garam secukup rasa sahaja, kalau terlebih tanggunglah akibatnya ... !


Sekejap lagi masaklah tu... !




Persiapan bekas untuk mengisi bubur Asyura

 Jagung adalah bahan yang terakhir dimasukkan kedalam bubur asyura.
  


 Dua kawah bubur Asyura telah disediakan. Tenaga kaum lelaki diperlukan. Kacau rata-rata jangan sampai berkerak dan hangit.


Pengerusi dah keletihan agaknya sebab bubur dah mula menjadi pekat.






Pengerusi, En Khek dan Cikgu Balwinder memeriahkan suasana.












Satu kawah bubur asyura yang telah masak dimasukkan kedalam bekas yang telah disediakan untuk diagihkan kepada orang ramai.

 En Halim Hasan dan En Bakhri Hashim juga hadir pada hari tersebut sama-sama turut mengacau bubur asyura yang telah hampir masak.





Bubur Asyura yang telah dimasukkan kedalam bekas siap untuk diagih-agihkan kepada orang ramai.





Pada hari tersebut juga kerja-kerja pemasangan paip air dan pam tandas bagi tandas yang baru siap dibina, telah disempurnakan oleh En Hashim dan En Adnan.







Tuan Hj Mehat dan En Mohd Hidzir sedang mengorek tanah mencari saluran paip.





Sikit lagi...., ahaa.. dah jumpa ... !!




Korek bagi dalam sikit lagi la Cikgu Singh, nanti kalau depa cangkul baru tak kena paip.









Pemasangan pam tandas dah hampir siap. Cuma periksaan akhir perlu sekiranya ada kebocoran dimana-mana sambungan.


Program pada hari tersebut berakhir kira-kira jam 12.30 tengahari. 



Amalan Memasak Bubur Asyura

Bulan Muharram adalah bulan istimewa bagi masyarakat Islam di seluruh dunia. Sebagai bulan pertama tahun Hijriyah, Muharram menjadi medan muhasabah diri akan amal masa lalu untuk dijadikan pedoman dimasa hadapan. Kebanyakan umat Islam juga seikhlas hati bersama-sama melakukan kebaikan dan sedekah pada bulan ini. Dalam bulan ini, selain puasa dan amalan sunat yang lain ‘Bubur Asyura’ sinonim dengan bulan Muharram ini.
.
10 Muharram adalah Hari Asyura. Antara tradisi masyarakat Melayu turun temurunapabila tiba tarikh ini, ia disambut dengan membuat dan mengadakan jamuan Bubur Asyura.‘Bubur Asyura’ atau ‘Bubur Suro’ adalah makanan yang dibuat dengan pelbagai campuran ramuan sempena meraikan Bulan Muharram terutama hari ke – 10 Muharram (Hari Asyura).
.
.
Sejarah Asal Bubur Asyura

Sejarah bubur ini adalah untuk memperingati hari Nabi Allah Nuh as. selamat mendarat setelah 40 hari mengharungi bah (banjir) besar yang melanda dunia pada ketika itu.
Diceritakan bahawa, ketika mana bahtera Nabi Nuh a.s. berlabuh di bukit Juudi pada ‘Hari Asyura’. Sesampainya di daratan Nabi Nuh as. bertanya kepada pada umatnya “Masih adakah bekalan pelayaran yang tinggal untuk dimakan?” kemudian mereka menjawab“Ada ya Nabi”. Berkatalah Baginda pada pengikutnya: “Himpunkan apa yang kamu miliki daripada makanan yang lebih-lebih”. Maka, dibawalah satu genggam daripada kacang Baqila’ iaitu kacang ful (kacang poi) dan satu genggam kacang Adas, Ba’ruz dan hinthoh dan tepung sehingga menjadi tujuh bagai biji-bijian yang dimasak. Maka berkatalah Nabi Nuh as.:“Masaklah sekeliannya kerana kamu sudah mendapat kesenangan sekarang”. Maka terciptalah satu santapan yang lazat. Itulah Bubur ‘Asyura’. Kemudian Nabi Nuh as. memerintahkan untuk diagih-agihkan kepada semua yang ada.
 .
Berdasarkan kepada kisah inilah kita mengenali Bubur Asyura, iaitu bubur yang dibuat untuk menghormati ‘Hari Asyura’ yang diterjemahkan menjadi ‘bubur untuk kesejahteraan’.Bubur Asyura merupakan perlambangan rasa syukur manusia atas keselamatan yang selama ini diberikan oleh Allah SWT.
.
.
Jenis-Jenis Bubur Asyura

Setiap negeri, mempunyai Bubur Asyura yang berlainan rasa dan ramuan. Ini, menyebabkan pelbagai cara untuk membuat Bubur Asyura. Sesetengah penduduk, terutama di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia mengatakan bahawa Bubur Asyura mesti mempunyai 10 jenis ramuan, jikalau lebih atau kurang, maka bubur tersebut bukan Bubur Asyura.
 .
Ada berbagai jenis Bubur Asyura  yang terdapat diseluruh dunia. Di kalangan masyarakat Malaysia sahaja terdapat 4 jenis yang biasa dimasak, tetapi ‘bubur’ dari sebelah utara dan pantai timur lebih menyerupai kuih atau puding.



1. Bubur Asyura Utara – jenis pekat dan manis

.

2. Bubur Asyura Pantai Timur – jenis pekat dan mengandungi rempah dan daging.

.

3. Bubur Asyura Tengah Selatan – jenis cair sama seperti bubur lambuk yang mengandungi pelbagai ramuan seperti bijirin, daging, kekacang dan sayuran.

.

4. Bubur Asyura Pulut Hitam – jenis pulut hitam dua warna yang mana di atas dicurahkan pati santan.
.
Nostalgia

Mengimbau zaman kanak-kanak, masih teringat apabila tiba hari Asyura penduduk kampung sama-sama menyumbang bahan-bahan Bubur Asyura yang terdiri daripada hasil tanaman seperti pelbagai  jenis ubi, biji-bijirin, ulam-ulaman, buah-buahan dan daging buruan termasuk bahan perasa seperti asam, gula dan garam yang kesemuanya berjumlah 40 jenis bahan. Mereka bergotong-royong sejak dari pagi hingga ke petang memasak campuran ramuan yang dibawa dan seterusnya akan bersama-sama berbuka puasa dan solat Maghrib berjemaah di surau. Adalah menyedihkan akibat penghijrahan keluar dan kekurangan bahan, kini ana tidak lagi dapat merasai keenakan bubur Asyura istimewa ala-ala bubur lambuk kampung baru itu.
.
.
Kesimpulannya

Muharram menjadi berbeza kerana di dalamnya ada kejadian yang sangat berharga bagi Agama Islam iaitu Hijrah Rasulullah SAW. Hari ke-sepuluh dalam bulan ini dipadati dengan nilai yang sarat dengan sejarah yang lebih dikenali dengan ‘Hari Asyura’ atau hari kesepuluh Muharram. Banyak keistimewaan yang diberikan oleh Allah pada hari ini di antaranya adalah gandaan pahala bagi yang melaksanakan ibadah pada hari itu. Hari ini adalah hari kasih sayang, dianjurkan oleh semua muslim untuk melaksanakan kebaikan, menambah bekalan pahala dengan bersilaturrahim, beribadah, dan banyak sedekah terutamanya bersedekah kepada anak yatim-piatu.
Hadis yang dimaksudkan ialah:  “Sesiapa memberi keluasan kepada keluarganya pada hari Asyura, maka Allah akan memberi keluasan kepadanya sepanjang tahun itu”.

No comments:

Post a Comment